Hospital Pengurangan Lemak Aimin yang
terletak di kota Tianjin berhasrat menawarkan rawatan-rawatan menggunakan herba
tradisional selain akupuntur, urut dan bekam.
"Apa yang menarik tentang kaedah
penurunan berat badan orang Cina ialah ia natural dan selamat. Biarpun berat
badan akan menurun secara mendadak, kami juga boleh menjamin bahawa semua
indikasi kehidupan adalah normal," demikian kata Pengarah Hospital dan Ketua
Doktor, Shi Lidong kepada agensi berita Reuters.
Shi berkata, bilangan remaja yang obes
meningkat sepuluh peratus setiap tahun.
Hospital berkenaan telah menarik
perhatian ratusan warga Cina yang obes dan mengalami berat badan melampau.
Semuanya menjadi mangsa kemewahan negara tersebut yang kian meningkat. Malah,
kini, warga asing turut membanjiri hospital tersebut.
Sedang sebatang jarum akupuntur dicucuk
ke atas tubuh Cheng Jian, 20, yang berlemak, ketidakselesaan itu bagaimanapun
tidak setanding perasaan malu diejek sebagai gemuk.
Cheng adalah salah seorang daripada
ratusan warga Cina dan asing yang mendaftarkan diri di hospital berkenaan untuk
menguruskan badan selain memperoleh semula keyakinan diri.
"Orang selalu berkata di belakang saya
kerana mereka belum pernah melihat seseorang segemuk saya,"
katanya.
Seorang lagi rakyat Amerika Syarikat
(AS), Alonzo Bland yang memiliki berat sebanyak 290 kilogram (kg) telah
mendaftarkan diri di Aimin pada Mei lalu. Dia berbuat demikian setelah memenangi
hadiah bernilai rawatan percuma selama setahun dalam sebuah peraduan baru-baru
ini. Peraduan tersebut telah dianjurkan oleh sebuah syarikat yang turut
menganjurkan lawatan-lawatan ke China untuk tujuan rawatan
perubatan.
Bland, seorang bekas sukarelawan dari
Green Bay, Wisconsin, menderita pelbagai masalah kesihatan dan menganggur
sepanjang tempoh sedekad ini ekoran saiz badannya.
Dia mengalami kesukaran berjalan dan
terpaksa bergantung kepada sebatang tiub untuk membantunya bernafas. Selain itu,
tiub tersebut turut mengimbangi lemak pada bahagian dada dan leher yang menekan
saluran udaranya.
"Saya rasa makanan segera memainkan
peranan yang penting. Hanya kerana seseorang itu tidak dapat menyediakan makanan
yang sihat di dapur, maka mendapatkan makanan segera nampaknya lebih mudah,"
kata Bland, 32 tahun.
Setelah gagal mengurangkan berat
badannya di rumah, Bland berharap kunjungannya ke China dapat membawa sinar
harapan.
"Matlamat terakhir saya ialah untuk
menurunkan berat badan dan berasa lebih sihat. Saya rasa perubatan tradisional
Cina mungkin dapat membantu melancarkan proses perubahan ini,"
katanya.
Menurut Shi, makanan Cina yang banyak
terdiri daripada sayuran hijau, tofu dan nasi adalah diet yang patut diamalkan
oleh Bland. Bland turut dirawat menggunakan akupuntur, urut dan
bekam.
Akupuntur secara keseluruhannya
membantu mengurangkan selera makan dan memperbaiki kadar metabolisma. Namun, Shi
menyakinkan rawatan yang ditawarkan adalah bersifat
holistik.
Seorang lagi pesakit Cina yang hanya
ingin dikenali sebagai Shen berkata, dia mengambil keputusan untuk ke hospital
setelah berat badannya menjadi satu beban.
"Anda akan menganggu orang lain ketika
tidur dan ini amat menyusahkan hidup. Saya tahu saya perlu mengurangkan berat
badan," katanya ketika menerima rawatan akupuntur dan urut daripada
doktor.
Selain ubatan farmaseutikal, ribuan
tumbuhan, kulat dan haiwan baik yang terpelihara mahu pun yang menimbulkan
kontroversi telah digunakan sebagai penawar ubatan Cina yang kini menjadi
alternatif pilihan ramai. Ia dipercayai tidak mempunyai banyak kesan sampingan
berbanding ubatan Barat.
Dalam pada itu, Shi berkata, dia yakin
Bland dan pesakit-pesakit lain dapat mengurangkan berat badan tetapi menekankan
rawatan tradisional Aimin bagaimanapun bukan pengganti kepada satu kaedah lama
menghilangkan berat badan iaitu bersenam.
0 comments:
Catat Ulasan