NAMA teknikalnya disebut sebagai enuresis (en-yoo-ree-sus) iaitu sebutan dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa orang biasa, ia lebih dikenali sebagai kencing malam.
Mungkin
ramai yang mengangguk tanda tahu bila menyentuh tentang perkataan "kencing malam". Masalah ini yang disifatkan sebagai satu tempoh transisi
untuk golongan ibu bapa itu sesungguhnya tidak mudah untuk dilalui.
Bagi
si anak, kencing malam bukan satu perkara menyeronokkan atau
melucukan. Tanpa bantuan orang dewasa, senario itu kemungkinan menjadi
satu mimpi ngeri sepanjang tumbesaran anak.
Justeru,
ibu bapa perlu sedar terdapat pelbagai faktor penyebab kencing malam.
Ketidakmatangan otot pundi kencing, perubahan gaya hidup dan
ketidakstabilan emosi merupakan dalang di sebalik permasalahan itu.
Kira-kira
15 daripada 100 kanak-kanak di dalam satu-satu populasi mengalami
masalah kencing malam. Otot pundi yang belum matang tidak cukup kuat
untuk menahan kencing sepanjang malam. Ini menyebabkan pembuangan air
kencing secara tidak disedari berlaku.
Namun,
situasi itu tidak akan berlarutan. Seiring dengan peningkatan usia,
masalah kencing malam dapat diatasi secara semula jadi berikutan proses
kematangan pundi.
Dalam tempoh tumbesaran anak, perubahan gaya hidup banyak mempengaruhi tahap kesihatan fizikal dan minda mereka.
Tekanan
misalnya dilaporkan sebagai faktor kedua penyebab masalah kencing
malam. Hadir dalam pelbagai bentuk, tekanan mungkin berpunca daripada
kehadiran bayi baru dalam keluarga, perceraian, pindah rumah, kematian
dalam keluarga atau penyakit.
Ketidakstabilan emosi
Perubahan
dalam persekitaran kehidupan seperti kegagalan untuk menyesuaikan diri
selepas diambil sebagai anak angkat juga boleh menyebabkan anak
kencing malam. Sebarang situasi keluarga yang memberi ketidakstabilan
emosi mungkin berpotensi membentuk masalah psikologi buat si kecil.
Oleh itu, ibu bapa memerlukan pendekatan untuk menyelesaikan masalah
anak tersebut.
Sebenarnya,
tiada apa yang perlu dimalukan jika anak anda mengalami masalah
kencing malam. Beberapa langkah positif boleh diambil oleh ibu bapa dan
anak untuk menangani permasalahan itu.
Dengarlah keluhan anak anda
Tiada
maknanya untuk anak sengaja membasahkan tilam katilnya sendiri, betul?
Jadi, sebagai ibu bapa, anda boleh menggunakan ketajaman deria
pendengaran untuk menganalisis ketakutan dan kerisauan si anak. Fikirkan
cara untuk membantu anak seperti mengajarnya membersihkan kotoran itu
bersama anda.
Cuba
berikan keyakinan kepada anak bahawa tindakan itu bukan satu hukuman.
Sebaliknya, ia memberi peluang untuk anak menguruskan masalah itu dalam
diam, tanpa perlu diheboh-hebohkan. Tindakan itu mengurangkan risiko
tidur anak terganggu.
Pastikan anak tidak dimarahi
Membasahkan
tilam katil tidak bermakna anak anda berhak menerima 'deraan' lisan
daripada ibu bapa. Anak-anak sudah cukup malu kerana terkencing malam.
Jadi, adalah tidak perlu untuk ibu bapa menambah tekanan jiwa mereka.
Cuba, tenangkan fikiran dan kurangkan bebanan emosi mereka sebelum
terlambat.
Dapatkan nasihat doktor
Doktor
adalah orang paling tepat untuk memberi nasihattentang situasi
kesihatan anak anda. Ubat-ubatan yang diberikan oleh pakar biasanya
dapat membantu pundi menahan aliran kencing sepanjang malam. Selain
itu, doktor juga mungkin berkongsi beberapa teknik bagi melatih pundi
dan mengukuhkan keupayaan menahan kencing. Senaman dan penggunaan
loceng bunyi adalah antara cara untuk mengejutkan anak bagi membuang air
kecil. Ibu bapa boleh meletakkan kain yang bersih berdekatan katil
bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan.
Oleh
itu, ibu bapa tidak perlu berfikiran negatif. Masalah kencing malam
yang dialami anak bukan perkara asing. Berita baiknya adalah kadar
kekerapan masalah itu akan berkurangan apabila anak meningkat dewasa.
0 comments:
Catat Ulasan