Ramai golongan remaja selalu mengadu
sukar untuk menentukan jenis kulit mereka. Ini kerana setiap kali mereka ke
kaunter membeli-belah, ada sahaja jurujual yang memperkenalkan produk baru yang
mampu memberi kesan mujarab.
Lebih-lebih lagi apabila komen seorang
jurujual terhadap jenis kulit yang dimiliki berbeza dengan jurujual yang lain.
Sebenarnya, kebanyakan daripada petugas produk kecantikan hanya menitikberatkan
jualan barangan daripada meluangkan masa untuk menganalisis dan meneliti tekstur
kulit.
Jenis kulit muka dikenalpasti dengan
merujuk kepada jumlah sebum yang dihasilkan dari liang
roma.
Kulit muka boleh dikelaskan kepada
empat jenis iaitu, kulit normal, berminyak, kering dan kombinasi. Justeru, perlu
diingat bahawa jenis kulit kita boleh berubah mengikut keadaan dan masa. Ia
bergantung kepada tempat tinggal, perubahan cuaca, umur, perubahan hormon dan
jenis produk kecantikan yang digunakan.
Oleh itu, haruslah ingat bahawa jenis
kulit anda pada masa sekarang tidak semestinya sama lima tahun lalu atau lima
tahun yang akan datang. Anda perlu melakukan pemeriksaan kulit dari semasa ke
semasa.
Kulit normal
Jumlah minyak semula jadi atau sebum
yang dihasilkan amat rendah. Tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.
Tekstur kulit juga lembut dan liang romanya kecil. Kulit jenis ini juga
mempunyai kandungan air yang cukup.
Bagi mereka yang tergolong dalam
kumpulan ini, lihat sama ada liang roma muka anda masih kecil. Kulit jenis ini
tampil berseri dari bawah permukaan kulit yang nipis.
Pada sebelah tengah hari atau petang,
zon T (dari atas dahi ke hujung hidung), permukaannya hanya sedikit berminyak
dan berkilau. Hanya sesekali anda mendapat jerawat dan bintik hitam atau
jeragat. Pipinya juga tidak selalu kering.
Rejimen penjagaan kulit wajah bagi
jenis kulit ini hanya memerlukan pencucian yang lembut. Urut sehingga kedua-dua
belah pipi anda berubah kemerahan. Kemudian, gunakan penyegar untuk membuang
daki degil yang terlekat jauh ke dalam kulit atau liang roma. Akhiri dengan krim
atau cecair pelembap sambil mengurut dengan jari-jemari menghala ke
atas.
Kulit kering
Ia menghasilkan kurang sebum lalu muka
kita tidak kelihatan berkilat. Pada kebanyakan masa, mereka yang berkulit kering
mempunyai raut wajah yang kusam dan mempunyai liang roma yang kecil atau
langsung tidak kelihatan.
Kulit jenis ini juga menggelupas
sesekali dan kadangkala memberi efek rasa kurang selesa.
Anda juga harus memberi lebih perhatian
terhadap garis-garis halus yang timbul ketika dimamah usia terutamanya di
bahagian tepi mata, garisan senyuman dan dahi.
Tahap kelembapan dan sebumnya rendah.
Satu-satunya cara untuk menangani masalah ini ialah menggunakan pencuci muka
yang berbuih. Biarkan ia di atas kulit sebelum dibersihkan dengan kapas lembut.
Kemudian, cuci dengan air sejuk. Pastikan anda menggunakan krim pelembap yang
mempunyai tahap kelembapan yang tinggi.
Kulit berminyak
Ia seringkali dibenci oleh ramai
remaja, termasuk orang lelaki. Kulit ini mengeluarkan banyak sebum dan
membuatkan seseorang nampak seperti tidak menjaga kecantikan
diri.
Liang romanya juga besar. Sebab itulah
seseorang mudah mendapat jerawat.
Bahagian hidung adalah yang paling
aktif. Jenis kulit ini memerlukan penjagaan khas. Selepas membersihkan wajah
dengan pencuci muka, gunakan losen penegang kulit dan krim pelembap yang
berasaskan kandungan air yang rendah.
Kulit kombinasi
Ia menggabungkan ketiga-tiga jenis
kulit muka iaitu normal, kering dan berminyak. Secara amnya, kulit ini kelihatan
normal tetapi mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang terasa kering dan
berminyak.
Tempat yang biasanya kering ialah di
bahagian pipi dan berminyak di zon T.
Meskipun tidak berkilat pada
keseluruhan bahagian muka, namun ia mempunyai liang roma yang besar di zon T dan
cepat mendedahkan seseorang kepada masalah jerawat. Gunakan jenis pencuci muka
di waktu pagi dan krim pembersih di sebelah petang untuk melembapkan bahagian
muka yang kering.
Gunakan losen penegang kulit untuk
bahagian muka yang berminyak dan krim penyegar di bahagian yang kering.
Bagaimanapun, akhiri dengan krim pelembap pada keseluruhan muka dan di bahagian
yang kering.
0 comments:
Catat Ulasan