Unordered List

Rabu, September 12, 2012

APAKAH HUKUM BERGERAK UNTUK MEMATIKAN TELEFON BIMBIT KETIKA SOLAT?



Apabila telefon bimbit berbunyi ketika solat sedang didirikan, maka mematikannya adalah wajib. Membiarkannya berbunyi yang sememangnya mengakibatkan gangguan ketika menunaikan solat, hukumnya menjadi haram.

Hukum mengganggu orang yang sedang solat
Berkata Abu Sa’id al-Khudri, Aku dengar Rasulullah SAW bersabda;

إذَا صلى أحدكم إلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ
Maksudnya:“Apabila seseorang kamu menunaikan solat dengan menggunakan sutrah, kemudian lalu didepannya oleh seseorang, maka hendaklah menghalanginya. Sekiranya ia ingkar, maka bunuhlah ia, kerana sesungguhnya ia adalah Syaitan

Ibnu ‘Arabi menyatakan, yang dimaksudkan dengan “bunuh” didalam hadis ini, bukanlah bermaksud membunuh sehinggakan berlaku pertumpahan darah, tetapi yang dimaksudkan dengan “bunuh” didalam hadis ini adalah, kelayakan menerima laknat dari Allah ekoran kedegilannya melalui didepan orang yang sedang menunaikan solat.
Hadis ini secara menjelaskan larangan menggangu orang yang sedang menunaikan solat sehinggakan Nabi SAW sanggup mengungkap kalimah yang mengandungi makna laknat kepada orang yang berperangai demikian.



Mematikan telefon bimbit ketika sedang solat
Memahami keharaman menggangu orang sedang menunaikan solat, maka selayaknya bagi orang yang lupa hendak mematikan telefon bimbitnya itu mematikannya jika telefon bimbitnya berbunyi.
Sekiranya dia tidak mematikannya, maka dia sudah berada dibawah kategori manusia yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagai orang yang layak menerima laknat daripada Allah SWT.
Bagi mematikan tersebut, hendaklah dia menjaga gerakan solatnya agar tidak melanggar batasan yang mengakibatkan batal solatnya. Walaubagaimanapun, sekiranya gerakan yang banyak itu merupakan keperluan (hajat) bagi mematikan telefon bimbitnya yang sedang berbunyi itu, maka itu dimaafkan.
Kaedah fiqh menyatakan;
الحاجة تنزل منزلة الضرورة

Maksudnya:“Hajat (keperluan) itu turun ke darjat dharurat”

Perbahasan ulama berkenaan banyak bergerak ketika solat
Ibnu Quddamah menyatakan didalam kitabnya “Al-Mughni”:
“tidak mencacatkan solat bagi gerakan ringan dengan sebab adanya keperluan (hajat)”.
Imam Ahmad bin Hanbal pula menyatakan;
لا بأس أن يحمل الرجل ولده في الصلاة الفريضة ، لحديث أبي قتادة ، وحديث عائشة ، أنها استفتحت الباب ، فمشى النبي صلى الله عليه وسلم وهو في الصلاة حتى فتح لها
Maksudnya: “tidak mengapa menanggung seseorang akan anaknya didalam solat fardu kerana melihat kepada hadis Abi Qatadah dan Hadis Aisyah, sesungguhnya Ia (Aisyah) meminta (Baginda SAW) membuka pintu, lalu berjalan Baginda SAW pergi membuka pintu sedangkan Baginda SAW ketika itu sedang menunaikan solat”.
Begitu juga, pernah Rasulullah SAW didalam solat, berjalan ke arah kala jengking untuk dibunuh dengan memukulnya menggunakan kasut. Setelah mati kala jengking tersebut, Baginda SAW meletakan balik kasut pada tempat yang diambilnya.
Daripada hadis-hadis yang tersebut di atas, menjadi dalil bahawa bergerak yang berada dibawah kategori hajat atau keperluan adalah perkara yang diizinkan oleh Syarak.
Menurut Syafiiyyah, sekiranya gerakan yang dilakukan didalam solat itu sebanyak tiga kali berturut-turut, maka solat boleh menjadi batal.
Maka dengan demikian, sekiranya gerakan untuk mematikan handset boleh dibataskan sekadar 3 kali gerakan sahaja atau kurang, maka hendaklah dilakukan dengan demikian. Adapun jika tidak ada cara lain bagi mematikan handset tersebut melainkan mesti lebih 3 kali gerakan, maka itu dibenarkan berdasarkan kepada kaedah fiqh;

الحاجة تنزل منزلة الضرورة
Maksudnya: “Hajat (keperluan) itu turun ke darjat dharurat”


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...