Unordered List

Isnin, Ogos 27, 2012

TAHUKAH ANDA BERAPAKAH NILAI PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM?


"SAYA tak sangka kos menguruskan jenazah boleh sampai RM700," ujar seorang anak yang baru selesai mengebumikan jenazah arwah bapanya yang meninggal dunia malam semalam akibat serangan sakit jantung.
Malah ada juga yang membangkitkan isu bahawa kerja-kerja mengkebumikan jenazah suatu ketika dahulu merupakan amalan kebajikan sesama umat Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mazlan Abdullah, menjelaskan ia masih lagi kerja kebajikan ataupun dapat disebut sebagai tanggungjawab sosial masyarakat Islam.
"Caj yang dikenakan adalah untuk menanggung kos kain kapan, membayar upah jurumandi, kerja menggali kubur, caj minyak kenderaan jenazah serta elaun pemandu. Kalau dicongak, jumlahnya dalam lingkungan RM500 sahaja, terutamanya untuk lokasi tempatan. Tetapi jika mayat perlu dihantar ke luar kawasan, maka caj mengikut kilometer akan dikenakan," jelasnya.
Buat mereka yang memikirkan angka itu terlalu besar, Mazlan menyebut senario kos menguruskan jenazah di Tanah Suci Mekah yang mencecah ribuan ringgit dan tidak pernah dipertikai.
"Mereka dikenakan sehingga RM1,700 untuk keseluruhan proses pengkebumian jenazah dan tidak pernah timbul persoalan tentang kos. Apa pun, perkara yang lebih penting untuk orang ramai fikirkan ialah kepakaran yang disediakan oleh setiap orang yang terlibat.
"Mereka mempunyai kemahiran yang tidak banyak dikuasai. Contohnya memandikan dan mengkafankan mayat atau menggali kubur. Banyak perkara, seperti tertib dan pengetahuan agama yang diperlukan untuk melakukannya. Kalau pihak keluarga boleh melakukannya sendiri, mereka sudah boleh memotong kos di bahagian itu. Cuma mungkin kos yang perlu dibayar ialah untuk kain kafan, dan majlis tahlil atau talkin," tambahnya yang menerangkan solat jenazah tidak dikenakan sebarang caj.
Mengendalikan puluhan ceramah dan praktikal pengurusan jenazah di sekitar ibu kota, Mazlan berkata, jika keluarga si mati tidak mampu atau tidak mempunyai waris yang dapat membantu menanggung kos tersebut, pihak JAWI akan membantu dengan mengenakan caj seminimum mungkin.
"Jenazah perlu disegerakan pengkebumiannya. Jadi kalau keluarga si mati tidak mampu atau tidak mempunyai waris yang dapat membantu, pihak kami akan membantu menanggung kos itu dengan bantuan majlis agama kerajaan negeri. Di sesetengah tempat, ada badan bukan kerajaan atau berasaskan keuntungan yang menghulurkan bantuan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan sebagainya," kata Mazlan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula menerangkan pada dasarnya tidak ada garis panduan yang khusus dalam menetapkan kadar perbelanjaan pengurusan jenazah.
"Mengikut amalan, kadar perbelanjaan pengurusan jenazah diuruskan oleh badan-badan Khairiat seperti setiap kariah masjid atau surau di negeri masing-masing. Badan-badan ini menjalankan tugas lebih kepada amalan kebajikan dan tolong-menolong kepada ahli kariah yang kematian ahli keluarga," kata Ustaz Ghafani Awang Teh, Pengurus Bahagian Keluarga/ Sosial/ Masjid JAKIM.
Mengatakan caj yang dikenakan untuk pengangkutan, kain kapan, upah menggali kubur, upah memandikan mayat dan majlis tahlil yang sedia ada tidak terlalu tinggi, Ghafani menjelaskan pihak JAKIM akan meneliti perkara ini dan menyelaraskan isu ini jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia boleh membebankan orang ramai.
SUMBER: JAKIM/PERKIM/JAWI

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...